Followers

Monday, March 22, 2010

Apabila Syaitan Menangis V


"Saya cintakan dia ibu! Dia sudah berjanji mahu mengahwini saya" air matanya berjuraian. "Tapi aku tak sukakan dia, dia tidak sama seperti kita. Kita golongan berada, golongan bangsawan" kata ibunya sambil memotong sebutir pinang.

"Dan kau tahu keturunan kita ada pantang larangnya untuk bersama golongan seperti mereka, kau adalah warisku" sambung ibu tua itu lagi. "Tapi Embung tak mahu bu. Ianya menakutkan dan berdosa bu" terang wanita itu lagi yang bernama Embung. "Sudah! Kau saja seorang warisku yang masih hidup, apa kau mahu aku hidup selamanya? Kau harus ambil saka ini, kalau tidak ianya tidak akan membenarkan ibu mati sekalipun, dan ia akan menganggu kampung Tebok Jin ini selama-lamanya" balas Wok Ranum lagi. 

Wok Ranum merupakan seorang bomoh wanita yang mewarisi bakat dari ayahandanya yang juga seorang bomoh handal di kampung Tebok Jin. Namun atas dasar perbomohan mereka telah dihalau dari kampung dan menetap jauh ke dalam hutan. Mereka menjalankan kehidupan lebih kepada bercucuk tani dan mengambil upah mengurut serta menjual minyak-minyak urut dan sapu kepada orang kampung yang masih berurusan dengan mereka. 

Namun sesuatu yang menggusarkan hati Wok Ranum adalah saka peninggalan arwah ayahandanya yang semakin kuat meminta dan sukar untuk dikawal oleh Wok Ranum. Pernah juga dia dan sakanya itu bertempur "Aku sudah pesan, jangan apa-apakan anak aku, kalau kau mahukan upah atau apa-apa kau boleh ambil dari aku, tapi jangan apa-apakan anak aku. Nahas kau kalau kau masih mengganggunya" marah Wok Ranum ketika Embung mengadu ada sesuatu yang berbunyi kencang seperti nafas orang dan terasa ada benda yang menyelak kain batiknya pada malam hari.

Ibu mana yang tak sayangkan anaknya, namun Wok Ranum pasrah apabila dia makin tua dan sakit-sakit mula nyata. Dia terpaksa berkeras supaya Embung menerima sakanya itu dan dia perturunkan segala ilmu yang boleh untuk melindungi Embung. 

Malam itu langit begitu gelap, tidak menampakkan sebarang cahaya bulan. Wok Ranum kini terbaring lesu di atas tilam sambil ditemani oleh Embung dan anak saudaranya Jah. Kerana mereka dipulaukan, tiada siapa yang datang menjenguk Wok Ranum sakit. Jah ada memberitahu Embung panggilkan Tok Imam, tapi ditolak Wok Ranum. "Biarlah Jah, aku ni banyak dosa, segan aku nak panggilkan Tok Imam". 

Jah cuba membacakan surah Yassin kepada ibu saudaranya itu namun apabila dimulakan pembacaan, Wok Ranum meracau-racau seperti kesakitan, angin menderu-deru, sehinggakan pintu tertutup dek kerana angin itu. Jah cuba meneruskan lagi, terasa getaran di atas atap zink seperti orang berjalan. Oleh kerana keadaan makin teruk, Jah memutuskan untuk memanggil Tok Imam juga dan menyuruh Embung berjaga-jaga. 

"Kenapalah tak beritahu Tok awal-awal?" kata Tok Imam. "Saya nak panggil dah Tok, tapi Wok tak bagi" terang Jah. "Dah, moh kita. Jalil, Itam kamu ikut aku sekali" arah Tok Imam.

Di rumah Wok Ranum, keadaan sangat sunyi. Tiba-tiba terdengar suara Embung menjerit "Tolong, jangan! Ibu jangan bu!" tangis Embung. Kelihatan Wok Ranum di atas bumbung rumah sambil mulutnya terkumat kamit berbahasa melayu purba. Tok Imam mengarahkan anak buahnya untuk menaburkan garam, lada hitam dan cebisan-cebisan jantung pisang disekeliling rumah itu. Selesai proses memagar, Wok Ranum meluru masuk semula ke dalam rumah. 

Dengan diiringi ayat-ayat suci al-Quran dan garam, Wok Ranum berjaga dibaringkan semula. Selang 15 minit kemudian, Wok Ranum telah menghembuskan nafas terakhirnya. Embung tidak putus-putus menangis di atas pemergian ibunya itu. Kini tinggal lah dia sendirian.

Sejak perginya Wok Ranum, kehidupan Embung tidak lagi ceria seperti dulu. Kekasih yang dipujanya dulu pun kini sudah meninggalkan dirinya setelah didapati Embung bukanlah orang biasa. Jah yang merupakan sepupunya pun kini sudah sibuk dengan persiapan untuk mendirikan rumah tangganya. Walaupun telah diajak Jah untuk tinggal sekali di rumahnya namun dia menolak. Dia lebih banyak termenung seorang diri dan banyak menangis di malam harinya. Dia teringat pesanan arwah ibunya yang memberitahu bahawa jangan dibuka peti berlambang  dewi itu. Namun atas dasar ingin tahu dan tidak tahan tiap-tiap malam diganggu saka ibunya, dia tekad untuk mengetahui apa yang ada di dalam peti tersebut.

Malam jumaat, dia memberanikan diri untuk membuka peti berlambang dewi itu. Lambang yang berbentuk seorang wanita bersayap dan memegang seorang bayi di pangkuannya amat mengujakan Embung.

Di dalam peti itu mengandungi selembar kain sutera, sepasang gelang kaki emas, seutas rantai berloketkan delima, sebilah keris usang. Di dasar peti itu tertulis suatu mantera dan dinyatakan jika ingin hidup kekal cantik dan berkuasa. Satu persatu ayat dibacanya untuk mengetahui cara-caranya. Bagaikan hilang pedoman diri, dia tertarik dengan mantera namun syarat-syaratnya amat menguji jiwa...

No comments: