Followers

Wednesday, October 13, 2010

Wareh (Part 1)

Pukul 3.30 pagi, badan aku mengigil. Peluh menitik dari kepala dan seluruh anggota badan. Dada berombak, mata aku meliar memandang ke sana ke mari. Astaghfirullah hal azim... Aku mengucap panjang. Mimpi yang seakan-akan tiada berpenghujung benar-benar membuatkan aku seperti orang baru habis jogging 2 pusingan  dekat tasik. Bajuku basah dek peluh.

Perlahan-lahan aku bangun dan aku selak sedikit langsir. Cahaya mula menerobos melalui tingkap yang terbuka luas. Udara nyaman turut tumpang sekaki masuk ke dalam. Aku hirup udara pagi dan meluahkankannya kembali. Bila cuba untuk mengingatkan kembali perihal mimpi itu, arghhhh! cukup ngeri! Walaupun aku tahu ianya sekadar mimpi namun ianya seakan-akan hidup. Tambah pula ini mimpi yang ketiga berturut-turut aku alami. Bukan lagi kebetulan bukan?

Segalanya samar-samar pada permulaanya. Sekumpulan lelaki yang berbaju pahlawan sedang berjalan menaiki bukit ingin ke sesuatu tempat. Sepanjang perjalanan itu, terjumpalah mereka akan sebuah rumah usang yang mempunyai ukiran dan senibina yang amat mengkagumkan. Setiap inci kayu di rumah itu di selaputi dengan paku yang besarnya bersamaan dengan 2 jari lelaki dewasa. Aneh!

Pada awalannya, mereka ingin membiarkan namun salah seorang dari mereka iaitu Adiwira Tok Rimau mencadangkan agar mereka memeriksa apa kandungan di dalam rumah tersebut. Manalah tahu jikalau ada harta yang tertinggal.

Dan mereka akhirnya masuk setelah berjaya memecahkan kunci yang diperbuat dari emas itu. Perlahan-lahan dan berhati-hati masing-masing mengeluarkan parang dan keris yang tersemat gagah di balutan sampin masing-masing. Kosong! Rumah itu kosong, hanya ada sebuah dapur kayu yang sudah lama tidak digunakan, sebuah meja dan dua buah kerusi. Terasa udara semakin menipis di dalam rumah ini kerana tiada lubang mahupun jendela yang dibuat. Aneh, sungguh aneh. Namun di dalamnya ada lilin yang bernyala di atas meja.

"Kau rasa apa yang rumah ini pegang ya Adi?"
"Entahlah, tapi aku dapat rasakan yang ianya 'berpenghuni' dan 'berpenunggu'" balas Adi.
"Berpenunggu?"
"Cuba kau lihat lilin itu, pintunya berkunci mangga emas yang berbentuk seperti paku, namun apinya masih terpasang" terang Adi.
"Bukankah lebih elok kalau kita tidak masuk ke rumah ini?" Merah pula menyampuk.
"Alah kau ni Merah, sampai bila mahu jadi pengecut?" getus Solok.
"Bukan begitu bang Solok, tapi sepertinya rumah ini tidak mahu kita untuk membongkarkan rahsianya".
"Shh...diam... apa kamu ada dengar sesuatu?" tiba-tiba Adi bersuara.
"Bunyi apa Adi? Aku hanya dengar bunyi angin aja yang masuk melalui rekahan dinding kayu ni" Solok membalas.
"Shhh...cuba hayati betul-betul, suara seperti seorang perempuan..." berkerut muka Adi.
"Ya la, suara tu datangnya...dari bawah ini" Solok menunjukkan arah suara itu datang dari bawah lantai.

Dan mereka mencari-cari di lantai sekiranya ada pintu rahsia yang membolehkan mereka menemui perempuan malang itu.

Adi terasa sesuatu seperti pintu berdekatan dengan meja makan. Mereka mula mengangkat pintu itu perlahan-lahan dan masih lagi terkejut dengan banyaknya paku yang dilekatkan pada bawah permukaan pintu bawah tanah tu. Lantas mereka menuruni tangga usang itu dan dari jauh kelihatan seorang wanita yang terikat oleh rantai nan banyak.

Solok tanpa berfikir panjang terus berlari ke arah wanita tersebut dan cuba untuk membuka ikatan rantai yang  membaluti setiap inci tubuh wanita itu. Tiba-tiba kedengaran tapak kaki dari atas. Adi memberi isyarat kepada Solok supaya cuba meleraikan ikatan itu, Merah bersedia di tangga dan dia naik ke atas.

"Siapakah kamu semua? Kenapa kamu boleh berada di tempat sebegini? Pergi, ini bukan kawasan permainan mu" ucap orang tua bertongkat itu.
"Wahai orang tua, apakah artinya ini. Terdapat seorang wanita di bawah yang telah dirantai, kenapa? Kejam sungguh dikau wahai orang tua" Adi berkata.
"Wahai anak muda, janganlah engkau melepaskan ikatan itu, kerana jika berbuat demikian binasalah penduduk kampung ini" orang tua itu berkata dengan nada bimbang.
Adi masih tidak mengerti "Kenapa wahai orang tua? Siapakah gerangan wanita itu?".

Selesai membuka ikatan rantai tersebut, Solok memangku wanita itu. Dia terpesona dengan kecantikan yang dimiliki wanita tersebut. Terasa bau harum menusuk hidungnya dan tiba-tiba nafsu berahinya datang bila terpandangkan dada wanita itu yang membunting. Diciumnya pipi si wanita itu dan wanita itu turut membalas. Dan kini nafsu telah menguasai Solok, dengan rakusnya dia cuba untuk membuka baju wanita itu tapi sesuatu seakan-akan menghalang. Dia memeriksa di belakang tengkuk wanita itu terdapat paku di leher.

"Cabutkan paku itu, dan aku milikmu segalanya, kau boleh buat apa saja pada diriku sebagai pembalasan membebaskan aku" bibir mungil itu berkata di corong telinga Solok. 
Bagai menggila, Solok cuba mencabut paku yang tersemat kukuh di leher wanita itu. Ketat!

"Wanita itu adalah Pontianak, waris keturunan Raja Bersiung dulu kala. Pernahkan kau mendengarnya?" orang tua itu membalas.
Terdetik ketika itu dia pernah mendengar cerita dari neneknya yang pada masa dulu, ada seorang wanita waris keturunan Raja Bersiung yang mati ketika ingin melahirkan anak. Beliau dibunuh kejam setelah dirogol oleh seorang lelaki. Sebelum mati, dia bersumpah akan membalas dendam. Dan beberapa hari selepas kematiannya, seluruh kampung gempar dengan Pontianak yang setiap malam mengganggu.

"Argggghhhhhh!!!!" Solok menjerit kuat.
Si Merah yang duduk di tangga terlihat samar-samar Solok mengaduh, dan kelihatan wanita tadi seperti sedang memakan sesuatu. Dia cuba memberanikan diri mendekati.
"Bang Solok?"
Alangkah terkejutnya apabila dia terlihat Solok sudah pun tidak lagi bernyawa. Yang kelihatan hanyalah si wanita itu yang rakus memakan organ dalaman Solok seperti memakan ayam. Pucat lesi namun kaki tidak mampu untuk bergerak, si Merah terduduk.

"Merah, apa kau buat dekat situ, lariiiiii!!!"
Merah hanya mampu memandang Adi buat kali terakhir sebelum mulutnya mengeluarkan darah. Dari jauh kelihatan muka wanita itu berubah ke wajah yang paling hodoh pernah dia lihat.
"Sudah anak muda, kawan-kawan kau sudah tidak bernyawa. Ayuh, tugas kita masih belum selesai. Mari kita kuncikan semula rumah ini.

Setelah selesai rumah dikunci dan dipagari semula. Pak Ya memperingatkan bahawa proses mengunci dan memagar ini perlu dilakukan sepanjang waktu sampailah hari kiamat. Dan dengan itulah juga dia memberikan tugasan itu kepada Adi untuk meneruskan amanat tersebut.

"Ingat Adi, setiap enam purnama, kamu harus ke sini untuk menguatkan pagar yang sedia ada. Dan kalau boleh ditambahkan lagi pengunci dan segala macam pelindung yang ada".
"Tak bolehkan dibunuh sahaja Pontianak ini?"
"Boleh, tapi dia hanya mati di dunia kita saja. Saat dia kembali ke dunianya, ia akan hidup kembali" Pak Ya membalas lagi.
"InsyaAllah Pak Ya, saya akan teruskan amanat ini dan akan diwarisi oleh anak cucu dan cicit saya kelak".

Lamunan aku terhenti. Adiwira Tok Rimau? Aku perlu balik ke kampung bertanyakan pada nenek.

bersambung...