Ibundaku, Khatijah Suhara |
Pagi ni, awal-awal lagi dalam pukul 8 lepas aku bangun selepas solat subuh aku terus menuju keluar rumah. Periuk aku masak ketupat hari tu masih belum terusik. Terdengar semalam mak kata nak basuh. Tapi kenangkan yang masak tu aku, kenapalah nak susahkan orang lain untuk membasuh lebih-lebih ibu kita ye tak?
Bangun-bangun aku tengok mak takde. Sah dia menyapu halaman depan. Dengan langkah tegap aku membuka pintu belakang dan membawa sabun untuk mencuci periuk. Pulas pili air, aaa lupa mak tutup paip air depan sebab paip limpah tangki dah tak berfungsi.
Tengah leka menggonyoh periuk, tiba-tiba dengar mak memanggil.
"Ye mak" wajib menyahut kalau ibu memanggil. Baru semalam aku mendengar ceramah di corong radio, mengenai darjat ibu dan bapa. Sesungguhnya wanita harus bersyukur kerana Allah telah mengamanatkan bahawa darjat seorang ibu itu lebih tinggi dari seorang bapa. Dan hak mereka sesungguhnya lebih dari bapa dengan kadaran 2:1.
"Buat apa tu?" mak masih tidak tahu aku sedang buat apa.
Aku hanya mendiamkan diri sebab aku tahu mak sedang melihat dari celahan tingkap sambil tangan masih menyental kekotoran periuk.
"Alah takpelah, nanti periuk tu mak boleh basuhkan..."
"Takpelah mak, dah siap basuh pun" sambil aku membilas buat kali terakhir.
Kali ni aku memandang longkang yang agak dipenuhi isi-isi buangan dari singki dan tandas. Perlahan aku mencapai berus longkang yang terpatah dua batangnya lalu mula memberus longkang. Sekali lagi suara mak kedengaran.
"Alah takpelah, nanti mak beruskan longkang tu" dengan nada yang agak berlainan, sedih?
Aku hanya mendiamkan diri sambil meneruskan memberus longkang.
Buat yang tak pernah berus longkang, aktiviti ni sangat bagus untuk kuruskan badan. Tak percaya? Sila try berus longkang sampai jadi bersih, bukan setakat tolak air je. Serius korang rasa macam nak terputus perut sambil kaki menggigil sebab kena rendahkan badan dan masuk ke kuda-kuda sambil memberus.
Dah siap memberus, aku masuk ke dalam sambil mengemas segala barang-barang yang telah aku sepahkan beberapa hari ni. Segala sampah sarap aku buangkan. Buku Sin Chan aku susunkan kembali ke rak. Aku kemas katil, simpan segala extension wire yang aku gunakan dan lepas tu barulah aku gosok gigi.
Siap gosok gigi, mak dah letakkan sardin, butter, timun dan roti atas meja. Yeah feveret aku sandwich. Walau aku punya pelbagai resepi yang boleh aku variasikan, yang mak buat tetap the best. Simple dan sempoi, aku makan dekat 5 keping roti sambil borak-borak dengan mak.
Dekat setengah jam di meja makan, aku berlalu untuk mandi. Siap segala-galanya dan kemas beg, aku menghidupkan motor dan bersiap sedia untuk bergerak. Mak kelihatan mundar mandir seperti biasa.
"Adik balik dulu ye mak, nanti dah sampai adik call la ye" kataku sambil mencium tangannya.
"Yelah, bawa motor hati-hati, jangan laju-laju. Baca doa sebelum bertolak" kata beliau sambil memelukku.
Dan motor aku kini bergerak sambil aku melambai tangan ke arahnya. Kelihatan walau semakin jauh, mak menadah tangan dan mulutnya membacakan sesuatu yakni doa buatku. Dari jauh juga aku dapat lihat wajahnya yang kian sedih kerana kini dia akan menyendiri kembali di rumah peninggalan arwah abah seorang diri.
Adakalanya, mak bisa menangis apabila aku berangkat pulang, sedih mungkin tiada teman, sedih mungkin, risau aku bawa motor merentasi Karak Highway yang diketahui umum banyak meragut mangsa.
Dan di dalam perjalanan, aku masih terbayang-bayangkan wajah mak yang pada aku adalah insan yang paling kuat dan tabah yang pernah aku jumpa seumur hidupku.
Cerita ini ditulis bukanlah nak menunjukkan betapa hebatnya ibu penulis, jauh sekali mau mendabik dada akan kerajinan penulis membuat sesuatu. Yang ingin dikongsi bersama adalah, jika hendak pulang meninggalkan mereka, jangalah kita tinggalkan sekali bersama dengan mereka masalah dan beban yang perlu mereka pikul, sebaik-baiknya biarlah kita sebagai generasi baru yang menggalas tugas itu.
Selain dari itu, cerita ini untuk dijadikan pedoman agar kita senantiasa menghormati seorang ibu dan wajib melebihkan ibu (bagi anak lelaki) dari segala-galanya yang lain. Hargailah mereka tak kiralah semasa mereka susah atau pun senang. Semoga ibu-ibu kita bakal ditempatkan di dalam kalangan orang beriman.
Terima kasih mak...
Maaf zahir dan batin...
No comments:
Post a Comment